Kali ini sudah masuk ramadan yang ke 12. Agak sedih rasanya tatkala ramadan kali ini di perantauan. Tetapi pengalaman itulah mengajar kita erti dewasa. Tak selamanya kita akan asyik bergantung dengan bantuan keluarga. Sudah masanya untuk kita keluar dari kepompong dan janganlah pula kita lalai melihat dunia indah diluar. Haruslah kita saling mengingati dan sentiasa kembali kepada-Nya.
RAMADAN BULAN TARBIYAH
"Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui
dengan sempurna..."
Lirik lagu 'Harapan Ramadhan' daripada Man Bai ini jelas menunjukkan
bahawa setiap antara kita sangat mengharapkan agar Ramadan kita menjadi Ramadan
yang terbaik, penuh makna dan lebih sempurna.
Namun, apakah yang kita lakukan untuk menjadikan Ramadan kita sebagai
sesuatu yang bukan sia-sia? Jikalau sekadar berpuasa hanya dengan menahan lapar
dan dahaga, itu bukan erti Ramadan yang sebenarnya. Dalam mengharungi ujian
sebulan untuk tidak makan dan tidak minum, kita juga sebenarnya diuji untuk
menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar, sia-sia dan tidak
diredhai Allah.
Seringkali kita dengar bahawa bulan Ramadan itu merupakan bulan
tarbiyah. Ia menjadi satu medium untuk kita memperbaiki diri menjadi muslim
sejati, satu bulan yang sangat membantu kita untuk melakukan refleksi diri,
untuk menilai diri kita dan melihat di tahap mana ketaqwaan kita kepada Allah
SWT.
Oleh sebab itu, rutin harian kita juga perlu diubah dan ditambah baik
agar erti kesempurnaan bulan Ramadan itu benar-benar kita rasai. Antara perkara
yang perlu kita perbaiki adalah jadual untuk melaksanakan amalan wajib. Jikalau
selama ini kita sering solat pada akhir waktu, ubahlah diri kita untuk menjadi
orang pertama yang berada di atas tikar sembahyang. Teringat saya akan kata-kata
seorang teman, "Biar kita yang menunggu waktu solat. Jangan biarkan waktu
solat yang menunggu kita." Kata-kata ringkas itu cukup untuk menyedarkan
kita tentang keutamaan solat pada awal waktu.
Selain daripada itu, amalkan membaca Al-Quran. Kitab Al-Quran merupakan
kalamullah yang di dalamnya penuh dengan nasihat, iktibar dan suruhan Allah
yang harus kita laksanakan. Dalam surah al-Baqarah jugalah Allah SWT berfirman
tentang kewajipan melaksanakan ibadah puasa:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."
Jika dahulu begitu sukar bagi kita untuk membuka helaian Al-Quran
(apatah lagi untuk membacanya), maka, bulan Ramadan inilah bulan yang sepatutnya
kita gunakan setiap masa dengan sebaiknya untuk menjadikan Al-Quran sebagai
teman karib dan sahabat kita walau di mana kita berada. Firman Allah SWT:
"Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab
Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak
sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya."
(Surah al-Kahf, ayat 27)
Bacaan Al-Quran yang dihayati dengan sebaiknya, mampu melembutkan hati
kita untuk kembali kepada fitrah Ilahi. Kisah pengislaman Saidina Umar RA boleh
dijadikan contoh terbaik. Saidina Umar RA yang begitu keras hatinya dan selalu
mencari jalan untuk menentang Rasulullah SAW akhirnya memeluk Islam setelah
membaca surah Taha:
"Taa' Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad)
supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi
orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari
(Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman,
yang bersemayam di atas Arasy."
(Surah Taha, ayat 1-5)
Seterusnya, amalan bersedekah. Sedekah merupakan suatu pemberian kepada
orang lain. Sedekah itu suatu yang subjektif. Ramai insan masa kini yang
menyalahtafsirkan erti sedekah yang sebenarnya. Sedekah bukan sahaja dari segi
kewangan, memberi wang kepada orang lain, harta benda dan sebagainya. Bahkan,
senyuman juga dikira sebagai sedekah. Membuang sesuatu yang menghalang di
jalanan juga sedekah. Mengajarkan sesuatu yang bermanfaatkan kepada orang lain
juga dikira sebagai sedekah.
Firman Allah SWT:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada
jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah),
Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya..."
(Surah al-Baqarah, ayat 261)
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang
perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah,
sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan
berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang
mulia."
(Surah al-Hadiid, ayat 18)
Justeru, jadikanlah bulan Ramadan kita sebagai satu bulan yang penuh
dengan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Jadikanlah ia titik
permulaan untuk kita tarbiyah diri kita. Semoga kita dapat beristiqamah dalam
meneruskan amalan kita sehingga pada bulan-bulan seterusnya, insya-Allah.
Wallahu'alam.


No comments:
Post a Comment